30 Apr
30Apr

1) LANGKAH-LANGKAH MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA

'Bahasa jiwa bangsa', itulah frasa yang paling sesuai untuk melambangkan signifikan sesuatu bahasa kepada bangsa-bangsa di Malaysia. Pelbagai polemik telah dibangkitkan sejak akhir-akhir ini bagi membicarakan identiti bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan bagi sebuah rumpun bernama Malaysia. Bahasa Malaysia telah diadaptasikan daripada frasa asal 'Bahasa Melayu' yang disifatkan berjiwa perkauman sekaligus tidak relevan dengan Gagasan 1 Malaysia. Namun begitu, apakah inisiatif yang perlu dilaksanakan demi memartabatkan bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat?


Langkah-langkah yang patut diambil termasuklah menggesa semua urusan rasmi dan surat-menyurat di semua jabatan kerajaan diimplimentasikan dalam bahasa ibunda. Mutakhir ini, jabatan-jabatan kerajaan lebih gemar memilih bahasa Inggeris yang dianggap berdarjat tinggi berbanding bahasa Malaysia untuk digunakan dalam urusan syarikat mereka. Sifat nafsi yang menggunung dalam jiwa mereka wajar diibaratkan seperti kacang lupakan kulit kerana mereka persis mengenepikan sebuah bahasa yang telah mendewasakan pemikiran mereka. Oleh itu, pihak-pihak ini haruslah menjaga martabat bahasa Malaysia supaya tidak hilang ditelan zaman.

Selain itu, idea Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) juga harus dilupuskan. Sifat dominan bahasa Inggeris dalam kehidupan kita tidak harus dinafikan, tetapi langkah ini dilihat berpotensi memadamkan kegemilangan bahasa Malaysia di peringkat lokal. Jika teras pentarbiahan turut dilaksanakan dalam bahasa asing, tidak mustahil pada satu era nanti, generasi akan datang tidak mengenali lagi perkataan 'Melayu'.Ironinya, usaha Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilihat sangat proaktif sebagai mangkin yang efektif demi membejat kemelut bahasa yang sedang dihadapi Malaysia kini.


Sementelahan pula, kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil juga tidak harus dikerling enteng berikutan perkara tersebut berkemampuan memperkasakan bahasa Cina dan bahasa Tamil lantas menjatuhkan darjat bahasa ibunda di sekolah-sekolah berkenaan. Jika dilihat dari perspektif berbeza, hal ini dapat menimbulkan nafsi perkauman bahkan tidak sejajar dengan penerapan 1Malaysia dalam kalangan masyarakat. Maka, polemik ini mungkin tidak dapat mencapai objektif kemenjadian bahasa sebagai agen perpaduan yang utuh bagi semua rakyat di negara ini. Tuntasnya, pihak-pihak yang berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) harus berfikir secara kreatif dan kritis demi menaikkan imej bahasa ibunda secara holistik.


Di samping itu, bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Malaysia dalam sanubari rakyat rencaman golongan, DBP harus melaksanakan pelbagai aktiviti yang menggapai minat umum terhadap keindahan bahasa Malaysia. Aktiviti seperti Sayembara Pidato Antarabangsa anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Pelancongan dengan usahasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini dilihat sebagai anjakan paradigma yang berpotensi memperkenalkan bahasa kebangsaan di peringkat dunia. Deduksinya, langkah yang sama harus diambil DBP untuk mewujudkan 'jiwa bahasa' dalam kalangan rakyat.

Mendepani arus globalisasi kini, pelbagai perubahan serta modifikasi yang sudah dilaksanakan terhadap bahasa Malaysia asal sehingga terbentuk bahasa rojak. Lihat sahaja di kiri dan kanan jalan raya serta di bangunan-bangunanpencakar langit, banyak papan tanda memaparkan penggunaan bahasa rojak. Perkara ini tidak patut dibiarkan berlarutan kerana keupayaannya untuk mencemarkan bahasa adalah tinggi. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak harus berpeluk tubuh dan mendiamkan diri, sebaliknya perlu mengambil tindakan Undang-undang bagi menyedarkan pihak berkenaan bahawa bahasa Malaysia bukanlah sebuah wadah mainan komersial. Oleh itu, 'pidana bahasa' ini perlu dibejat bagi mewujudkan rakyat kontemporari yang berpegang teguh dengan bahasa ibunda.


Konklusinya, semua pihak haruslah menggembleng sinergi untuk meledakkan darjat bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan harian, selain status utamanya sebagai bahasa kebangsaan. Janganlah kita menjadi manusia yang khusyuk menyelami sungai pemodenan dengan mementingkan bahasa asing sebaliknya menidakkan kebolehan bahasa Malaysia untuk membawa kita ke mata dunia. Pepatah Melayu ada menyebut, "yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa". Oleh hal yang demikian, marilah kita berpijak di bumi yang nyata dengan menjaga bahasa kebangsaan supaya kekal nirmala dan 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'.


(597 patah perkataan)


KOSA KATA:

1. Signifikan = kepentingan

2. Polemik = perdebatan

3. Diadaptasikan = diubah suai

4. Inisiatif = daya usaha

5. Diimplementasikan = dilaksanakan

6. Mutakhir ini = baru-baru ini

7. Nafsi = mementingkan diri sendiri

8. Dominan = kuat pengaruh

9. Ironinya = secara bertentangan

10. Proaktif = maju

11. Mangkin yang efektif = usaha yang berkesan

12. Membejat kemelut = mengekang masalah

13. Sementelahan pula = tambahan pula

14. Agen perpaduan = pengaruh kesepunyaan kaum

15. Holistik = keseluruhan

16. Rencaman = pelbagai

17. Anjakan paradigma = perubahan yang lebih baik

18. Modifikasi = ubah suai

19. Wadah = alat

20. Komersial = bersifat ekonomi

21. Pidana = kejahatan

22. Kontemporari = era baru

23. Menggembleng sinergi = bersatu tenaga

24. Nirmala = kekal

2) LANGKAH-LANGKAH MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL

 Masyarakat Melayu mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada pelbagai keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga membentuk kebudayaan Melayu. Lantaran resam yang majmuk ini, maka banyak permainan tradisional yang dipertandingkan. Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Tonggak penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Keadaan ini membolehkan mereka bekerja dan berhibur pada masa yang sama. Malah sejak dari kecil lagi mereka membiasakan diri dengan keadaan yang demikian. Apabila sesuatu permainan diadakan di sesebuah kampung, penduduk kampung berdekatan turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau sekadar memberi semangat. Suasana pesta di padang permainan boleh mewujudkan interaksi sosial di antara kampung-kampung yang mengambil bahagian. Oleh hal yang demikian permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat antaranya termasuklah guli, congkak, wau, selambut, sepak raga, gasing dan lain-lain. Namun begitu,akibat daripada kemajuan dunia dalam pelbagai skop,permainan ini seolah-olah dianaktirikan begitu sahaja oleh masyarakat kita. Oleh itu,pelbagai langkah yang pragmatik perlu dilaksanakan dalam usaha menggiatkan permainan tradisional pada hari ini.

             Keluarga mendukung obligasi yang dominan dalam usaha ke arah menggiatkan permainan tradisional tanah air. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menghadiahi anak-anak dengan set-set permainan tradisional sebagai hadiah hari lahir iaitu congkak dan gasing. Melalui langkah ini,ternyata anak-anak akan berasa terhibur dan teruja selain dapat mengenali warisan nenek moyang kita .Pada waktu senggang, ibu bapa boleh membawa setiap ahli keluarga mereka bermain permianan tradisional ini agar anak-anak akan mempunyai semangat untuk bermain permainan ini memandangkan ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Bahkan,ibu bapa juga mampu menyerapkan minat terhadap permainan ini dalam kalangan anak-anak dengan menggalakkan mereka menyertai pertandingan permainan tradisional di peringkat sekolah mahupun anjuran badan-badan bebas. Hal ini dapat  mencambahkan minat generasi muda untuk terus berkecimpung dalam tradisi permainan ini. Golongan pascamerdeka khususnya generasi baru sepatutnya menyanjung dan menjunjung warisan budaya kita persis peribahasa Melayu yang berbunyi biar mati anak,jangan mati adat. Oleh itu,setiap ahli keluarga terutamanya ibu bapa memikul tanggungjawab murni untuk mempopularkan permainan tradisional negara kita.

Selain itu,permainan tradisonal juga dapat digiatkan dengan adanya peranan daripada pihak sekolah. Pihak sekolah boleh memainkan peranan dengan menganjurkan kelab permainan tradisionald dalam aktiviti kokurikulum. Dalam hal ini,pihak sekolah perlu memastikan kelab ini bergerak secara aktif bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Pelajar sekolah perlu diberi galakkan untuk menyertai kelab ini kerana dapat didedahkan dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang boleh menjadi salah satu hobi mereka. Sebagai contoh, permainan congkak,permainan gasing dan permainan batu seremban.Bahkan, pelajar juga dapat mendominasi teknik bermain permainan warisan ini dengan tepat dan betul. Dengan itu, mereka akan lebih menguasai permainan ini kerana mereka telah belajar dengan orang yang berpengalaman dan profesional kerana jauhari jua yang mengenal manikam. Pihak sekolah boleh menjemput pihak luar seperti orang perseorangan yang mahir dalam sesuatu permainan tradisonal untuk mengajar asas dan teknik permainan. Pelajar akan dibimbing secara efektif dengan pihak yang berkemahiran itu.Sebagai contoh, dalam permainan congkak, pelajar dapat mengetahui  tentang guli yang dikenali sebagai buah dan kawasan pemain dikenali sebagai rumah. Pihak sekolah juga boleh menggiatkan permainan tradisional dalam kalangan pelajar sekolah dengan menyediakan lebih banyak alatan permainan ini. Hal ini mencerminkan dengan jelas sekiranya mereka sukar mendapatkan permainan ini,minat mereka mulai pudar dan beranggapan peluang untuk mendekatkan diri dengan permainan amat nipis. Alatan permainan tradisonal juga sukar diperoleh di pasaran dan kebiasaannya amat terhad. Pelajar akan menemui kesukaran untuk membeli alatan permainan pusaka nenek moyang ini. Dengan cara membeli alatan permainan ini terus daripada kilang,kos untuk membelinya menjadi bertambah murah. Dengan itu, pihak sekolah dapat membelinya dalam kuantiti borong yang banyak. Dengan adanya pelbagai permainan tradisional yang dibekalkan oleh pihak sekolah,pelajar akan berminat  untuk bermain permainan ini. Bukan sahaja pelajar yang menyertai kelab ini,bahkan semua pelajar boleh mencuba untuk bermain permainan tradisional ini. Masalah seperti kekurangan peralatan untuk bermain tidak akan timbul lagi. Pihak sekolah juga boleh menjadi pendukung utama dalam mempopularkan permainan tradisonal dalam kalangan pelajar sekolah dengan menyediakan tempat-tempat permainan ini. Hal ini akan memudahkan mereka untuk bermain dalam suasana yang selesa dan kondusif. Mereka menyediakan padang untuk bermain gasing dan kawasan yang luas untuk bermain wau. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk menggiatkan permainan dalam kalangan masyarakat dapat dilaksanakan dengan adanya peranan pihak sekolah dalam memikul obligasi tersebut kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Dalam fasa itu,masyarakat memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam menjayakan usaha ini. Pihak masyarakat wajar memberikan sokongan terhadap permainan tradisional dengan menubuhkan kelab permainan tradisonal di tempat tinggal. Dengan wujudnya kelab-kelab seperti ini seperti kelab sepak raga,kelab congkak dan kelab wau, usaha untuk membaja kembali permainan ini akan menjadi lebih mapan. Hal ini demikian kerana dengan adanya kelompok besar masyarakat yang memperjuangkan warisan ini, permainan tradisional tidak akan lapuk dek hujan,tidak akan lekang dek panas. Hal ini berbeza sekiranya perjuangan mempertahankan permainan hanya mengharapkan sebilangan kecil rakyat Malaysia kerana sebatang lidi amat mudah dipatah-patahkan berbanding seberkas lidi. Pastinya,dengan penglibatan bilangan komuniti yang ramai,usaha untuk mempopularkan permainan nenek moyang ini tidak akan menjadi sekadar hangat-hangat tahi ayam. Tambahan lagi, masyarakat perlu berusaha untuk mewujudkan tapak permainan tradisional di kawasan perumahan mereka. Hal ini dapat menarik perhatian penduduk sekitar beriadah sambil memainkan permainan ini. Pelbagai pertandingan berkisarkan permainan tradisional dapat dianjurkan di tapak itu bagi mengelakkan permainan ini daripada terus berkubur begitu sahaj tanpa mendapat sebarang pembelaan. Oleh hal yang demikian, pihak masyarakat perlu berganding bahu dalam mengetengahkan permainan tradisional agar permainan ini akan terus utuh berdiri dalam arus perdana.

Langkah yang paling afdal bagi memajukan permainan tradisional ialah kerajaan hendaklah mengadakan lebih banyak lagi kempen dan promosi yang progresif menerusi media massa serta media cetak bagi mendedahkan masyarakat  tentang peri pentingnya kita menjaga warisan nenek moyang kita iaitu permainan tradisional yang sudah lama wujud di negara kita ini. Kita acap kali diperdengarkan mengenai peribahasa yang berbunyi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Janganlah kita merindui permainan tradisional selepas permainan ini pupus ditelan zaman. Dengan itu, Kementerian Warisan dan Kebudayaan telah mengambil langkah bagi mempopularkannya dengan mengadakan kempen seperti kempen “Jom Main Permainan Tradisional” dan pertandingan ‘Festival Layang –Layang Antarabangsa’ yang merupakan rencah maslahat untuk memajukannya. Langkah tersebut penting supaya ahli masyarakat tidak kira dari dalam negara mahupun  luar negara mendapat pendedahan dan mempelajari permainan tradisional sepanjang kempen dan pertandingan dijalankan kerana tak kenal, maka tak cinta. Bukan itu sahaja, kerajaan juga boleh menetapkan satu bulan sebagai ‘Bulan Permainan tradisional’.Oleh hal yang demikian,dengan adanya langkah proaktif tersebut, kita dapat memastikan permainan tradisional mampu menjadi warisan budaya untuk generasi yang akan datang.

            Minat yang mendalam terhadap permainan tradisional seperti wau,layang-layang,sepak raga, gasing dan sebagainya tidak mencukupi sekiranya tiada kemudahan untuk memainkannya.Bagi menangani isu ini, kerajaan haruslah menyediakan lebih banyak tempat atau gelanggang permainan tradisional untuk memudahkan rakyat  bermain permainan ini. Pembinaannya pula hendaklah di tempat-tempat yang strategik seperti di sekitar taman perumahan supaya setiap lapisan masyaarkat lebih-lebih lagi golongan belia dapat menghabiskan waktu senggang mereka dengan bermain permainan tradisional. Selain itu,jurulatih yang terlatih juga patut disediakan di setiap gelanggang bagi mendidik para pemain tentang cara-cara sebenar untuk memainkannya. Gandingan kedua-dua ini dapat menambahkan bilangan peminat permainan tradisional di seluruh negara sekali gus mempopularkannya di mata dunia. Sekolah juga memainkan peranan penting dalam memajukan permainan tradisional ini. Oleh itu, kerajaan boleh menetapkan pemainan tradisional sebagai salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah. Kelab Permainan Tradisional juga boleh ditubuhkan serta pihak sekolah boleh menjadikan permainan tradisional sebagai salah satu acara dalam sukan. Kerjasama yang erat antara kaum ibarat aur dengan tebing dalam permainan ini  dapat meningkatkan perpaduan dan merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain sekali gus visi kudsi 1 Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perpaduan dapat digarap sepenuhnya.

            Secara tuntas, pelbagai pihak memainkan peranan yang sepada dalam usaha mempopularkan permainan tradisional. Oleh itu, mereka perlulah mengambi langkah yang vital,imperatif ,kritis dan pragmatik supaya dapat memanifestasikan generasi pelapis negara yang tidak akan lupa akan warisan mereka ibarat kacang lupakan kulit. Generasi pada hari ini perlu digarap agar menghargai dan menjunjungi pusaka warisan mereka sejak dari rebung lagi. Barulah warisan permainan tradisional akan terus hidup subur dalam kehidupan masyarakat kita. Generasi muda perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan warisan ini tidak hanyut ditelan zaman. Sekarang tibalah waktunya anak-anak remaja yang merupakan generasi penggerak wawasan menimba sebanyak ilmu pengetahuan agar dapat digunakan dalam usaha memelihara permainan tradisional ini pada masa akan datang. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu bagai lebah menghimpun madu,agar impian ini tidak akan dipersia-siakan begitu sahaja dan terus dapat dihidupkan dari semasa ke semasa.

Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING